Pemain tenis, Syed Mohamad Agil Syed Naguib dan Shahril Shamirul Mohd Adam Das, tidak dapat meneruskan cabaran negara selepas tewas dalam perlawanan suku akhir beregu lelaki di Pusat Tenis Memorial Rizal, hari ini.

Mereka terpaksa akur apabila tewas kepada gandingan tuan rumah, Treat Conrad Huey dan Ruben Gonzales Jr, 3-6, 3-6.

"Setiap mata memang sangat rapat, namun mereka dapat melakukan 'break point' sebanyak dua permainan dan mengambil kesempatan untuk mendahului.

"Situasi itu membuatkan pihak lawan lebih selesa dan tekanan semakin berkurangan," katanya.

Begitupun, Syed Mohamad Agil berhasrat untuk mengerah kudrat dalam Sukan SEA seterusnya sambil berharap program yang disusun boleh membantu skuad tenis mencabar pingat.

"Saya ingin terus bermain dalam Sukan SEA 2021.

"Saya berharap program tenis negara berterusan dalam dua tahun lagi selain lebih banyak kejohanan diadakan (sebagai persiapan) untuk menghadapi Sukan SEA dua tahun lagi."