Berbaki kira-kira tiga minggu sebelum memulakan saingan, skuad tenis negara menerima tamparan apabila pemain utama, Jawairiah Noordin, ditimpa kecederaan yang mencetuskan tanda tanya berhubung penampilannya dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Pengurus pasukan, Datuk Salahuddin Ahmad Kamal, berkata keputusan mengenai acara yang akan disertai Jawairiah hanya akan diputuskan selepas mendapat laporan kesihatan daripada pakar perubatan.

“(Kecederaannya) boleh tahan serius. Bagaimanapun, dia (Jawairiah) sudah pun turun untuk mengikuti latihan tapi kami masih tunggu keputusan daripada pakar esok. Acara tenis bermula pada 1 Disember, ia sepatutnya cukup masa. Kami masih ada masa lagi, lebih kurang dua minggu untuk dia sembuh.

"Jika dia kembali cergas, dia akan bermain dalam acara perseorangan. Kalau tidak cergas sepenuhnya, kami akan letakkan dia bermain dalam acara beregu wanita atau campuran sebab bermain acara perseorangan agak berisiko,” katanya dalam sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, skuad tenis kebangsaan mencatat keputusan cemerlang, apabila membawa pulang pingat perak dalam acara berpasukan wanita dalam Kejohanan Jemputan One Belt One Road di Kunming, China, bulan lalu.

Namun, di sebalik kejayaan manis itu, pasukan negara berdepan dilema apabila Jawairiah mengalami kecederaan pangkal paha dalam aksi separuh akhir.

Sementara itu, Salahuddin optimis skuad negara mampu menyumbang dua pingat gangsa dalam temasya edisi ke-30 itu.

Selain Jawairiah, beliau berkata sandaran pingat juga diletakkan kepada S. Theiviya dan Christian Didier dalam acara beregu campuran.

Menurutnya, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina adalah pencabar utama untuk meraih pingat dalam temasya dwitahunan itu.

“Kami sasarkan untuk dapat dua gangsa dalam Sukan SEA kali ini. Kami harus berpijak di bumi nyata dalam meletakkan sasaran kerana ranking pemain negara masih jauh berbanding atlet negara lain,” katanya.

Dalam edisi kali ini, skuad kebangsaan membariskan 10 pemain yang akan menyertai keseluruhan lima acara yang dipertandingkan melibatkan perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Untuk rekod, pasukan negara meraih gangsa dalam acara beregu wanita dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menerusi Jawairiah dan Theiviya.

-- BERNAMA