Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) memberi jaminan akan ada habuan buat pemain dalam skuad Sukan SEA di sebalik rungutan membabitkan soal elaun dan hadiah kemenangan kejohanan.

Terdahulu, beberapa pemain menyuarakan rasa terkilan hanya menerima 40 peratus daripada hadiah wang tunai berjumlah RM94,000 yang diraih ketika muncul naib juara Kejohanan Jemputan Antara Pasukan di Kunming, China, baru-baru ini.

Ia tidak kurang dengan desas-desus dalaman membabitkan beberapa pemain senior yang tidak senang dengan soal elaun latihan bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina.

LTAM menerusi setiausaha kehormatnya, Kamaruzzaman Kedah, memberi jaminan apa sahaja kejayaan daripada kempen Sukan SEA nanti akan diberi habuan yang sewajarnya.

"Apabila ia telah disuarakan oleh pemain, kami anggap ia sebagai perkara penting. Bagi saya, tidak perlu risau kerana ganjaran untuk Sukan SEA akan lebih besar," katanya.

"Saya rasa moral dan persefahaman pemain kini sangat tinggi. Jadi, tidak perlu ada kerisauan."