Ketua jurulatih skuad tenis negara, Suresh Menon, tidak menafikan berdepan dilema dalam Sukan SEA hujung bulan ini jika pemain utama, Jawairiah Noordin, tidak dapat beraksi akibat kecederaan.

Kem kebangsaan mencapai keputusan yang cemerlang apabila merangkul pingat perak dalam Kejohanan Jemputan One Belt One Road di Kunming, China, minggu lalu.

Namun, kejayaan itu diraih dengan kepahitan apabila pemain wanita utama, Jawairiah, mengalami kecederaan yang mungkin mengekangnya daripada beraksi dalam Sukan SEA di Filipina.

"Saya rasa apa yang berlaku ke atas Jawairiah memberi tamparan besar kepada kami kerana dia mampu beraksi dengan baik. Situasi ini akan menurunkan kemungkinan untuk menang," ujar Suresh.

Dia juga risau dan kecewa dengan prestasi yang dipamerkan pemain baru apabila hanya mempunyai sebulan lagi ke temasya dwitahunan itu.

"Saya agak kecewa dengan prestasi pemain muda. Saya harapkan lebih daripada itu tetapi mungkin ia perlukan masa. Saya tidak meraih keputusan yang sepatutnya."

Setakat ini, Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) memberi jaminan akan menjanjikan habuan buat pemain dalam skuad Sukan SEA di sebalik rungutan membabitkan soal elaun dan hadiah kemenangan kejohanan.