Tenis: Dua wakil negara mara ke suku akhir

Oleh Staff Writer 1 Disember 2019 240
Tenis: Dua wakil negara mara ke suku akhir
Barisan atlet tenis negara cemerlang pada hari pertama Sukan SEA Filipina 2019 apabila masing-masing mudah melepasi pusingan pertama di Gelanggang Tenis Kompleks Sukan Memorial Rizal sebentar tadi.

Shamirul Shahril Mohd Adam Das menjadi wakil pertama Malaysia turun beraksi dalam acara perseorangan lelaki menentang Antonio Mendes dari Timor Leste.

Atlet berusia 19 tahun iu tampak tidak menghadapi masalah untuk mengawal gelanggang biarpun beraksi dalam keadaan lebih berangin apabila mengungguli set pertama 6-0.

Antonio cuba memberikan tentangan memasuki set kedua, namun Shahmirul sukar untuk digugat sebelum menoktahkan permainan dengan keputusan 6-1, sekaligus mara ke pusingan kedua.

"Saya menghadapi lawan yang mudah dan wakil Thailand menjadi halangan seterusnya bagi saya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil perseorangan negara, Christian Didier Chin, yang membuat penampilan pertamanya dalam Sukan SEA turut tidak menghadapi masalah untuk menundukkan lawan dari Myanmar, Myu Paing Min.

Christian tidak memberi peluang kepada lawan dengan mendominasi set pertama 6-1, dan perkara sama diteruskan memasuki set kedua dengan mencatatkan kemenangan 6-1, sekali gus meraih slot ke suku akhir.

"Saya menjangkakan cuaca lebih panas, namun keadaan berangin menyaksikan pergerakan bola sukar diramal. Bagaimanapun, saya berusaha untuk menampilkan permainan cemerlang serta pukulan yang berkualiti untuk memastikan kemenangan," kata Christian.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen