Kemampuan barisan pemain tenis negara dalam Sukan SEA Filipina bakal diuji apabila masing-masing dijadualkan bertemu nama pilihan kejohanan selepas mudah mengetepikan lawan masing-masing di pusingan awal.

Perlawanan pembukaan buat pemain muda berusia 19 tahun, Shamirul Shahril, menentang lawan dari Timor Leste, Antonio Mendes, dianggap sebagai pemanas badan kerana cabaran sebenar hadir di pusingan kedua menentang wakil Thailand, Wishaya Trongcharoenchaikul, esok.

Ia bakal menjadi tugasan getir memandangkan lawan mempunyai ranking lebih tinggi dalam Jelajah ATP, berada di kedudukan ke-626.

Namun, dia yang menganggapnya dirinya sebagai bukan pilihan menegaskan dia lebih tenang untuk mengharungi perlawanan itu kerana tidak diletakkan sebarang bebanan dan tekanan.

"Lawan tidak begitu bagus, jadi perasaan tidak begitu teruja apabila menang dalam aksi ini. Jadi, saya akan fokus dengan aksi pusingan kedua menentang wakil Thailand. Dia seorang pemain yang bagus dan pertemuan itu pasti akan menarik," katanya.

Turut bakal mengharungi cabaran dalam acara perseorangan lelaki adalah Christian Didier Chin yang dijadulkan bertemu pilihan pertama kejohanan, Nguyen Daniel Cao, dari Vietnam dalam saingan suku akhir.

Bagaimanapun, pemain dari Sabah itu sedia pertaruhkan segala kudrat untuk mencari slot ke separuh akhir memandangkan dia berputih mata dalam edisi sebelum ini kerana terlibat dengan Kejohanan Remaja Terbuka Amerika Syarikat.

"Saya rasa cuaca agak bagus. Saya jangkakan lebih panas. Persekitaran angin di gelanggang juga agak kuat. Saya gembira dapat mengharungi cabaran awal dengan baik," katanya.