Sukan tempuh halangan menyasarkan tiga pingat emas dengan merujuk kepada kelibat juara Ninja Challenge League (NCL), Mat Redho Rozlan, walaupun hakikatnya acara dalam Sukan SEA bula depan sedikit berbeza.

Menerusi tiga kategori yang disertai atlet kelahiran Kuantan, Pahang itu, dia menjadi sandaran utama untuk Malaysia meraih emas.

Dia, yang menjadi fenomena selepas bergelar juara Ninja Worrior tahun lalu, diberi tanggungjawab menyertai tiga acara, iaitu 100 meter solo, 400m relay dan 400m assist.

Mat Redho juga sudah menjalani persediaan serius sejak dua bulan lalu bersama rakan yang lain, antaranya Tan Jie Yi, Yip Hui Teng dan Mohd Saddam Pittli.

"Sukan tempuh halangan sedikit berbeza dengan NCL sebab ia memerlukan kelajuan. Saya menjadikan YouTube sebagai rujukan teknik-teknik yang betul untuk sukan ini," katanya.

"Saya akan ke Australia minggu depan untuk mengekalkan kejuaraan dalam NCL tahun ini. Bukan tugas mudah dan saya harap tak akan ada kecederaan menjelang Sukan SEA nanti."

Ada kesukaran yang terpaksa dilalui atlet negara apabila masih buntu dengan rutin yang bakal dilalui bagi setiap kategori ekoran kegagalan tuan rumah memberi kerjasama daripada segi gambaran sukan yang dipertandingkan buat kali pertama itu.

"Kami akan menghantar enam atlet untuk penyertaan kali pertama sukan baru ini. Kami akan bergerak ke venue pertandingan seminggu awal untuk mencuba halangan di sana," ujar pengurus pasukan, Andrew Chiu.