Tempuh halangan: Skuad negara uji venue lebih awal

Oleh Staff Writer 18 November 2019 192
Tempuh halangan: Skuad negara uji venue lebih awal
Skuad larian tempuh berhalangan negara mengambil keputusan berlepas lebih awal ke Filipina dalam usaha mencipta sensasi merangkul tiga pingat emas dalam penampilan pertama temasya itu setelah menerima pelepasan daripada Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) untuk menguji venue pertandingan.

Acara larian berhalangan hanya akan membuka tirai pada 2 Disember ini tetapi atlet kebangsaan, Muhammad Redha Rozlan, yang turut dikenali sebagai Mat Redho, akan bersama lima lagi rakan sepasukannya berlepas ke Filipina, Sabtu ini selepas diberi lampu hijau oleh pihak penganjur untuk menguji venue pertandingan di Bandar Filinvest di Alabang, kira-kira 30 minit dari Manila.

Skuad negara mempunyai tempoh sekitar tujuh hari untuk menyesuaikan diri dengan keadaan venue memandangkan kali terakhir mereka ke sana bagi saingan Ninja 100 ialah pada Mac lalu.

"Memang tidak boleh katakan tentangnya kerana kami masih belum melihat venue. Kami cuma fokus dalam latihan serta mengikut arahan pengurus dan jurulatih," kata Mat Redho.

Skuad negara juga optimis mampu menghadirkan tiga emas meskipun sukan itu kali pertama dipertandingkan dalam Sukan SEA serta kebanyakan atlet baru akan melakukan penampilan sulung di pentas itu.

Mat Redho ditemui dalam majlis doa selamat anjuran Industri Pembangunan Kewangan Malaysia (MIDF) yang bertindak sebagai penaja skuad larian berhalangan negara ke Sukan SEA tahun ini.

"Tekanan memang ada kerana sekarang saya dalam kedudukan pertama. Jadi, ramai atlet yang meletakkan harapan di bahu saya hingga menyebabkan tekanan," ujar seorang lagi atlet negara, Saddam Pittli.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen