Enam pingat emas yang ditawarkan dalam sukan tempuh halangan disapu bersih tuan rumah, Filipina, yang licik merangka strategi melemahkan kekuatan yang dimiliki wakil negara dalam saingan Sukan SEA Ke-30.

Selain tidak berkongsi peta halangan yang akan ditampilkan tuan rumah, susunan jadual melibatkan acara yang dipertandingkan jelas menafikan penguasaan negara.

Itu yang berlaku kepada wakil negara yang merupakan bekas juara Ninja Warrior, Mohd Redha Rozlan, yang terpaksa berhadapan tiga acara serentak dalam tempoh satu hari.

Ia kekecewaan buat Mohd Redha atau Mat Redho yang terpaksa menelan pahit sekadar memperoleh pingat perak dalam tiga acara yang melabelkan Malaysia sebagai pilihan utama.

"Saya ingin meminta maaf kepada setiap sokongan oleh rakyat Malaysia. Saya telah menjanjikan pingat emas, namun gagal melunaskannya dalam Sukan SEA kali ini," katanya.

Situasi sama dihadapi seorang lagi wakil negara, Saddam Pittli, yang diletakkan harapan mampu membawa pulang pingat emas dalam acara hari terakhir melibatkan 5 kilometer menerusi 20 halangan turut tidak berlaku.

Ia kekecewaan berganda skuad negara apabila sekali lagi sekadar membawa pulang pingat perak ketika tuan rumah menyapu bersih enam pingat emas yang dipertandingkan.

"Saya telah bertemu lawan-lawan dalam saingan Sukan SEA dalam beberapa kejohanan sebelum ini, namun gagal mengatasi mereka kali ini di Manila," kata Saddam.