Barisan atlet tempuh halangan negara menepis persepsi kehadiran mereka di Manila sebagai makan angin memandangkan ini penampilan sulung mereka di pentas Sukan SEA.

Buat julung kalinya, acara tempuh halangan dipertandingkan di pentas Sukan SEA dengan menawarkan enam pingat emas.

Biarpun baru pertama kali membuat penampilan, Malaysia mahu cuba merebut sekurang-kurangnya dua emas bagi membuktikan mereka juga mampu menjadi penyumbang misi 70 emas kontinjen Malaysia.

Lebih-lebih lagi, mereka mahu cuba menafikan keistimewaan Filipina sebagai tuan rumah yang arif dengan laluan halangan yang bakal diharungi.

"Kami telah berkorban untuk ke Sukan SEA kali ini. Atlet tempuh halangan yang ke Manila bukan mahu makan angin, sebaliknya menghadirkan pingat buat Malaysia," kata atlet negara, Mat Redho Rozlan.

Keinginan itu ditunjukkan dengan skuad larian berhalangan menjadi antara kontinjen terawal tiba di Manila dan mereka mempunyai tempoh sekurang-kurangnya sembilan hari untuk menyesuaikan diri, dengan venue pertandingan di Bandar Filinvest, Alabang Yanga hanya akan membuka tirai Isnin ini.

"Walaupun Filipina tuan rumah, ia tidak menghalang usaha kami untuk memastikan kemenangan milik Malaysia," kata atlet negara, Mohd Saddam Pittli.