Sukan SEA Filipina tetap diteruskan walaupun dilaporkan Taufan Tisoy dijangka membadai negara itu yang mungkin menyebabkan temasya itu dilangsungkan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

Taufan itu dilaporkan bergerak menuju ke arah barat Filipina pada kelajuan 25 kilometer sejam dengan tiupan angin sepantas 105 kilometer sejam.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Operasi Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC), Ramon Suzara, berkata pihaknya sudah bersedia dengan pelan kecemasan.

"Berdasarkan kajian kami, ia tidak akan menjadi penundaan yang terlalu lama dalam setiap pertandingan.

"Sudah pasti keselamatan atlet dan peserta dijadikan keutamaan.

"Pemindaan jadual setiap acara memerlukan persetujuan daripada setiap negara bertanding," katanya.

Pegawai Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SGF), Celso Dayrit, pula berasakan perkara yang harus diutamakan ketika ini adalah penerbangan atlet ke Filipina yang akan terjejas kerana bencana itu.

"Apa yang kami gusarkan dan berharap tidak akan mendatangkan banyak masalah ialah sesetengah penerbangan telah dibatalkan.

"Ia mungkin menjejaskan penerbangan atlet yang akan datang ke Manila.

"Itulah kerisauan terbesar kami," katanya.