Selepas penyertaan kali pertama sukan tarian dalam Sukan SEA pada 2007 hanya membuahkan satu pingat gangsa, atlet Malaysia bagi sukan itu kini berhasrat untuk membawa pulang pingat emas pertama dalam edisi ke-30 ini.

Jurulatih pasukan, Chua Zjen Fong, yakin sekurang-kurangnya satu emas dan dua gangsa boleh dicapai pasukan kebangsaan di New Clark City itu selepas menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Katanya, Lego Sam yang akan bertanding dalam disiplin breaking, merupakan sandaran utama Malaysia bagi meraih emas selepas berjaya dalam beberapa kejohanan antarabangsa tahun ini.

“Jika Sam menang emas, dia akan mencatatkan sejarah dalam sukan tarian Malaysia,” katanya Chua yang juga seorang bekas atlet sukan tarian.

“Selain Sam, kami juga meletakkan sasaran pingat menerusi Elvin Teo, Kimberly Tan, Jarel Cheong dan Koh Jinnee bagi disiplin standard selain Tan Yee Chun dan Tan Chee Min dalam disiplin latin,” katanya kepada Bernama di Royce Hotel and Casino hari ini.

Sembilan atlet Malaysia akan menyertai disiplin latin, berpasangan standard dan breaking.

Malaysia tidak menyertai sukan tarian ketika ia mula-mula diperkenalkan dalam Sukan SEA Filipina 2005 dengan memenangi satu gangsa menerusi Yong Kwok Leong dan Gooi Yee Zhen dalam disiplin Latin American (Rumba) dalam temasya di Korat, Thailand 2007 sementara sukan tarian tidak dipertandingkan selepas itu.

Sam ketika ditemui turut menyimpan hasrat yang sama, untuk menjadi pemenang emas pertama negara dalam Sukan SEA menerusi sukan tersebut.

“Ini adalah kali pertama disiplin breaking dipertandingkan dalam Sukan SEA dan saya mengharapkan keputusan yang baik dan dapat menunjukkan pergerakan khas saya dalam pertandingan esok.

“Saya telah mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa, jadi saya percaya mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk menghadapi tekanan esok,” katanya.

Elvin dan Kimberly juga yakin dengan peluang memenangi pingat.

“Kami menang pingat perak dalam Kejohanan SEA WDSF 2019 pada Ogos lalu dan saya berharap ia akan berikan kami kelebihan untuk persembahan kami di sini,” kata Elvin.

Sejumlah 13 emas menjadi rebutan dalam sukan tarian di Royce Hotel and Casino esok.

-- BERNAMA