Skuad sepak takraw negara memohon seluruh rakyat mendoakan kejayaan mereka dalam Sukan SEA Filipina 2019 bermula seminggu lagi.

Permintaan itu dibuat oleh ketua jurulatih, Abd Talib Ahmad, ketika pasukan itu diraikan dalam majlis makan malam di sebuah restoran terkemuka di Ipoh, sebentar tadi.

Majlis itu dianjurkan oleh seorang ahli perniagaan, Azmi Mokhtar, yang bertujuan menyemarakkan semangat pemain sebelum berlepas ke Filipina, 2 Disember ini.

Talib berkata skuad takraw negara sudah 90 peratus bersedia untuk menghadapi temasya dwitahunan itu.

"Usaha sudah dilakukan untuk menyiapkan pemain daripada aspek jasmaniah dan rohaniah dalam latihan pusat di Ipoh selama hampir tiga minggu.

"Selain latihan untuk memantapkan fizikal dan kecergasan, pemain juga memantapkan rohani melalui bacaan Yassin serta solat hajat setiap malam," katanya.

Katanya, skuad negara akan menghabiskan sesi latihan di Ipoh sehingga Ahad ini sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada Isnin.

"Pemain akan diberi rehat selama dua hari dan kemudian melapor diri semula untuk latihan terakhir sebelum kami berlepas pada 2 Disember ini," ujarnya.