Kecederaan di bahagian ibu jari kaki kiri memaksa atlet taekwondo negara, Joshua Amirul Abdullah, akur untuk sekadar membawa pulang pingat perak dalam penampilan pertamanya dalam Sukan SEA Ke-30.

Amirul menjadi satu-satunya wakil tunggal Malaysia yang berjaya ke final bagi saingan taekwondo.

Dia beraksi baik di peringkat separuh akhir apabila menundukkan lawan dari Myanmar, Naing Kyaw Min, dengan keputusan 32-14.

Bagaimanapun, kemenangan itu dipaksa bayar dengan harga yang mahal apabila Amirul mengalami kecederaan di bahagian ibu jari kakinya.

Dia mempunyai masa satu setengah jam sahaja untuk berehat sebelum mengharungi aksi final bedepan atlet tuan rumah, Morrison Harper.

Ternyata ia memberi kesan buat atlet yang berasal dari Klang itu apabila gagal memberikan asakan sehingga tewas dengan keputusan 30-8.

"Saya menghadapi aksi final dengan kecederaan ibu jari kaki tetapi telah menampilkan aksi yang cemerlang. Pusingan pertama tidak mengikut perancangan ditetapkan, namun tetap gembira dengan pingat perak yang diraih," kata Joshua.