Aksi kemas gandingan Jason Loo dan dan Nurul Hidayah Abdul Karim menghadiahkan pingat emas buat kem taekwondo negara dalam Sukan SEA Filipina menerusi acara poomsae berpasukan campuran hari ini.

Jason dan Nurul Hidayah perlu melalui gemuruh di Gelanggang Kompleks Sukan Memorial Rizal itu kerana menyedari aksi mantap pasangan tuan rumah, Jacob Mella Dustin dan Rinna Babant, yang terlebih dahulu jauh di hadapan dengan jumlah 8.233 mata.

Namun, persembahan yang ditampilkan dua atlet muda Malaysia itu berjaya memikat juri untuk ditabalkan juara dengan 8.283 mata, sekali gus menepati sasaran Persatuan Taekwondo Malaysia (TM).

Thailand dan Indonesia pula masing-masing berkongsi gangsa.

“Pada hari ini, kami cuba melakukan yang terbaik walaupun kali pertama beraksi dalam temasya ini secara bersama. Kami berjaya melakukannya kerana kami banyak fokus dalam meningkatkan ‘timing and synchronisation’,” kata Nurul Hidayah yang membentuk gandingan dengan Jason sejak Jun lalu.

Jason sekali lagi cemerlang apabila gandingannya bersama Anak Grocer Augustine Rudy dan Yong Jin Kun meraih gangsa dalam acara berpasukan poomsae lelaki.