Selepas dikecewakan di peringkat suku akhir dua tahun lalu dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, atlet taekwondo negara, Farah Alisa Roslan, optimis sentuhan jurulatih dari Korea Selatan, Jin Cheon Soo, bakal membantunya meraih pingat pertama di Filipina, bulan depan.

Farah gagal memanfaat peluang menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri dalam edisi 2017 setelah ditewaskan wakil Vietnam dalam kategori bawah 57 kilogram.

Atlet berusia 20 tahun itu mengakui berdepan cabaran sukar apabila ditukarkan ke kategori 62 kg sekali gus menyaksikannya kurang pengalaman mengenali corak perlawanan saingan.

Namun, dia optimis Cheon Soo bakal membantu untuk sekurang-kurangnya raih gangsa di Filipina nanti.

"Dia banyak ajar aspek bertahan selepas melihat aksi kami dalam saingan pra Sukan SEA di Manila. Bagi saya, ia bagus untuk memastikan lawan meraih mata daripada kami," katanya.

Dalam masa sama, dia turut fokus bagi dua kejohanan yang bakal menjadi persiapan rapinya menjelang Sukan SEA itu Terbuka Bali, minggu depan diikuti Terbuka China, bulan depan.

"Ia satu pengalaman bagus. Saya dapat menyertai banyak kejohanan sebelum ke Sukan SEA. Saya harap segalanya akan baik."