Penari negara, Jinnie Koh, mengakui persiapan Malaysia masih belum memadai untuk mencabar pasukan gergasi, Filipina, yang membolot lima daripada enam pingat emas daripada acara standard dance Sukan SEA 2019 hari ini.

Harapan Malaysia untuk mencuri satu pingat dalam acara itu tidak kesampaian.

Prestasi terbaik skuad negara hadir menerusi gandingan Cheong Tze Wen-Jinnie yang meraih tangga keempat acara five dance (134.30 mata).

Satu lagi pasangan negara, Teo Chee Seng-Kimberly Tan, juga hampir meraih pingat acara quickstep, namun terpaksa berpuas hati di tangga keempat dengan 28.20 mata.

Realitinya, pasukan gergasi seperti Filipina membuat persiapan rapi dengan banyak menyertai kejohanan antarabangsa selain memiliki tiga jurulatih dari luar negara.

"Mereka amat-amat kuat.

"Kami sudah mencuba yang terbaik, jadi kami amat berbangga dengan diri kami.

"Ia merupakan persembahan terbaik kami," kata Jinnie.

"Apa yang kami pelajari daripada Sukan SEA adalah anda memerlukan komitmen untuk berjaya.

"Filipina memiliki ramai jurulatih dari luar negara dan kerana itu mereka pasukan paling berjaya hari ini," tambah Tze Wen pula.

Filipina meraih pingat emas dalam acara waltz, tango, vienese waltz, dan foxtrot dan five dance sementara Vietnam menjuarai acara quickstep.