Sam Jee Lek atau lebih dikenali sebagai Lego Sam meminta Kementerian Belia dan Sukan agar memberi layanan sama rata terhadap skuad tarian negara selepas mencipta kejutan meraih pingat emas acara break dance dalam Sukan SEA Filipina hari ini.

Meskipun hanya diletakkan sebagai atlet dalam kategori B2, Lego Sam meraih pingat emas yang tidak dijangka-jangka.

Justeru, dia mahu kejayaannya itu dipandang untuk meningkatkan status atlet skuad sukan tari negara pada masa akan datang.

"Tidak ramai yang menyangka acara break dance akan menyumbangkan pingat emas.

"Kerana ia sukan yang masih baru, jadi tidak ramai yang sedar kewujudan sukan ini.

"Saya harap ia dapat membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa kita mempunyai bakat yang baik dalam break dance.

"Saya fikir pihak Kerajaan Malaysia tidak perasan kewujudan kami.

"Kami telah berusaha dengan amat-amat keras dan memenangi banyak kejohanan.

"Kali ini, saya harap mereka akan mengiktiraf kami sebagai sukan dan menyokong kami untuk generasi baru yang akan datang," katanya.

Sementara itu, jurulatih skuad negara, Zjen Fong Chua, mengakui barisan atletnya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan mencecah RM40,000 untuk ke Filipina.

Ia harga yang terpaksa dibayar untuk membuka mata semua pihak walaupun sedar ia tidak akan dibayar semula oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Saya harap rakyat dan Kerajaan Malaysia dapat melihat sukan ini merupakan masa depan generasi yang akan datang.

"Dengan pingat emas ini, harap-harap kerajaan akan lebih yakin dengan sukan ini," katanya.

"Kita perlu berbincang semula dengan persatuan dan jurulatih mengenai perancangan mereka dan kedudukan atlet sedia ada supaya dapat satu program yang lebih komprehensif," kata Pengarah Bahagian Persediaan Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), Jefry Ngadirin.