Sukan tari: Aspek pemarkahan jadi persoalan 

Oleh bernama 1 Disember 2019 2350
Sukan tari: Aspek pemarkahan jadi persoalan 
Aspek pemarkahan dalam sukan subjektif dalam Sukan SEA masih menjadi persoalan yang dibangkitkan oleh beberapa jurulatih, termasuk jurulatih tarian negara, Chua Zjen Fong, selepas skuad kebangsaan sekadar meraih satu pingat emas di New Clark City, Filipina, hari ini.

Chua mendedahkan beberapa atlet negara berpeluang cerah untuk meraih sekurang-kurangnya beberapa butir pingat gangsa sekiranya mereka mendapat kutipan markah yang lebih tinggi, khususnya daripada beberapa pengadil dari Eropah yang diberi tanggungjawab.

Beliau, yang merupakan bekas atlet tarian, bagaimanapun, tetap berpuas hati dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan skuad tarian negara apabila meraih satu emas menerusi Lego Sam dalam acara breakdance lelaki.

"Atlet kita seperti Jarell Cheong dan Koh Jinnee tunjukkan prestasi yang baik, terutama dalam acara pasangan standard, walaupun mereka masih muda.

"Bagi acara Latin, atlet kami mempamerkan prestasi terbaik, cuma mungkin masalah pemarkahan yang menghalang mereka meraih kedudukan lebih baik  kali ini, dan saya paling berbangga dengan Lego Sam kerana raih pingat emas," katanya ketika ditemui zzzzselepas berakhirnya acara tarian di Ballroom Royce Hotel and Casino, hari ini.

Dalam pada itu, Chua berharap keputusan sederhana yang diraih beberapa penari muda negara dalam Sukan SEA Filipina boleh dijadikan sebagai pengalaman berguna untuk menghadapi kejohanan akan datang.

Ditanya mengenai hala tuju skuad sedia ada, beliau berkata mereka akan menyertai kejohanan kebangsaan pada penghujung bulan ini selain bakal meneruskan latihan di benua Eropah bagi meningkatkan lagi skil tarian masing-masing.

Pada masa sama, beliau turut mendedahkan mereka akan terus memantau perkembangan Lego Sam bagi memastikan penari berusia 24 tahun itu terus diberi peluang untuk menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa pada masa depan.

Sebagai rekod, seramai sembilan penari negara menyertai Sukan SEA 2019 di atas perbelanjaan sendiri memandangkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan pasukan berkenaan dalam kategori B2.

Menerusi kategori berkenaan, persatuan terlibat harus menanggung perbelanjaan atlet masing-masing dan MOM tidak akan membayar semula wang perbelanjaan walaupun atlet berkenaan meraih sebarang pingat kerana persatuan tersebut bukan ahli gabungan MOM.

Tuan rumah pula muncul juara keseluruhan acara tarian temasya edisi ke-30 itu setelah meraih sembilan emas dan tiga perak.

Untuk rekod, sukan tarian kembali dipertandingkan buat kali ketiga dalam Sukan SEA setelah kali terakhir diadakan dalam edisi 2005 di Manila, yang menyaksikan Malaysia meraih satu gangsa menerusi gandingan Yong Kwok Leong dan Gooi Yee Zhen dalam acara Latin Amerika (rumba) dalam edisi 2007 di Korat, Thailand.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

bernama

Komen