Ketua jurulatih petanque negara, Zani Lisa Mohamed, menyahut cabaran dilontarkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membutirkan dua emas dalam Sukan SEA Vietnam November ini.

Dengan syarat badan induk itu perlu membantu dia menyediakan pemain yang mencukupi dan bukannya pada saat akhir.

Edisi Vietnam menyaksikan berlaku pertambahan acara menjadi lapan berbanding hanya empat sahaja yang dipertandingkan di Filipina.

Manakala pemain sedia ada dalam skuad negara ketika ini terdiri daripada enam lelaki dan wanita sahaja, jumlah yang tidak mencukupi untuk menyertai kesemua acara tersebut kerana peraturan baru ditetapkan, satu pemain hanya boleh menyertai satu acara sahaja.

Zani Lisa memerlukan sekurang-kurangnya tiga lelaki dan empat wanita lagi untuk melengkapkan skuadnya bagi memburu sasaran dua emas.

"Kami memerlukan beberapa atlet lagi untuk memastikan usaha meraih dua pingat emas. Masa amat diperlukan membentuk pasukan dengan baik," katanya.

Biarpun terdesak memerlukan pemain, dia masih tegas dengan pendirian mahukan pemain baru yang berkualiti dan bukan sekadar penumpang dalam pasukan.

Malaysia tidak pernah ketandusan emas sejak jurulatih dari Kelantan itu membimbing bermula Sukan SEA Singapura 2015.

"Sebenarnya, saya tidak pernah dengan goyang dengan cabaran diberikan pihak MSN buat skuad Petanque memburu emas dalam Sukan SEA. Kami sedia mencapai tuntutan itu dan dalam masa sama, kami mahu memastikan dapat membentuk skuad lengkap lebih awal."