Sukan SEA: Tindakan PHISGOC cetus kebimbangan

Oleh Penulis Jemputan 14 Oktober 2019 163
Sukan SEA: Tindakan PHISGOC cetus kebimbangan
Ketua kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, bimbang tindakan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) menjalankan undian sebelum tarikh tutup pendaftaran atlet akan mencetuskan masalah menjelang temasya dwitahunan itu bulan depan.

Belum pernah dalam sejarah Sukan SEA, penganjur menjalankan undian acara sebelum tarikh tutup pendaftaran atlet.

Undian 10 jenis sukan akan dijalankan esok, tiga hari sebelum tarikh tutup pendaftaran.

Tindakan itu dikhuatiri mencetuskan bantahan negara bertanding di mana ia membuka peluang untuk mengatur keputusan perlawanan.

"Kami mahu melihat sejauh mana negara-negara lain akan membuat bantahan. Buat masa ini, kontinjen Malaysia tidak memiliki sebarang masalah dalam perkara ini," katanya.

"Apa yang merisaukan kami apabila melibatkan acara yang berkontroversi apabila setiap kali undian dijalankan."

PHISGOC sudah dua kali menangguhkan tarikh tutup pendaftaran atlet -- atas permintaan negara bertanding selain masalah dalaman penganjur.

"Ketegasan yang saya lakukan dengan tidak mahu menurut apa yang telah dibuat PHISGOC adalah demi kepentingan kesemua persatuan-persatuan sukan di peringkat negara-negara Asia Tenggara," kata Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader.

Dalam perkembangan lain, kehangatan Sukan SEA Filipina masih belum terasa.

Beberapa venue di Manila masih dalam proses menaik taraf seperti Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Venue itu akan menganjurkan sukan karate-do, lawan pedang dan wushu di mana ia dijangka siap 11 November ini.

"Persiapan di WTC di landasan yang tepat sebelum penganjuran saingan Sukan SEA bermula 30 November ini," kata penolong pengurus venue, Ryan M. Janeo.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen