Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, tidak berpuas hati walaupun berjaya memecahkan rekod kebangsaan 64.55 meter ketika menjuarai Kejohanan Trek dan Padang Jeollanam-do, Korea Selatan kerana misi utamanya adalah pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Jackie melaungkan amaran untuk merampas emas Sukan SEA selepas mempamerkan aksi cemerlang di Korea.

Catatan 64.55m bermakna dia kini menghuni ranking kedua Asia Tenggara di belakang juara bertahan Sukan SEA, Caleb John Stuart dari Filipina.

Stuart kurang menyerlah musim ini apabila memberi lebih banyak tumpuan terhadap acara baru, lempar cakera, menjelang temasya Ogos depan.

Begitupun, Jackie belum berpuas hati dengan prestasinya.

"Saya masih belum berpuas hati dengan catatan hari ini kerana ketika sesi latihan, saya mampu membuat balingan yang lebih baik.

"Jurulatih saya juga menyasarkan pingat emas dalam Sukan SEA nanti," kata Jackie.

Atlet kelahiran Sarawak ini sekadar meraih gangsa sejak Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Dia akan menyertai satu lagi kejohanan di Korea sebelum pulang ke tanah air, 19 April ini.

Malaysia pernah muncul gergasi baling tukul besi Asia Tenggara menerusi dominasi Wong Tee Kui pada era 90-an.

Lebih membanggakan, Grace Wong turut menjuarai saingan wanita dengan 60.99m yang juga rekod baru kebangsaan.

Atlet tukul besi ini, yang cukup mendahagakan kejayaan dalam Sukan SEA kerana prestasi konsistennya, sekadar memberi dia peluang merekod kejayaan terbaik selaku pemenang pingat gangsa, dengan yang terakhir dilakukan di Singapura 2015.

Biodata:

Jackie Wong
Atlet lontar tukul besi
Umur : 25 Tahun
Asal : Sibu, Sarawak
Rekod : 64.55m (Kebangsaan)

Pencapaian Terbaik :
• Gangsa Sukan SEA '11,'13 & '15
• Emas AUG 2012
• Emas Kej. Sekolah-Sekolah ASEAN 2010
• Emas Kej. Trek & Padang Jeollanamdo 2017