Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, masih meletakkan harapan tinggi untuk melihat sentuhan magis daripada ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, bagi menyelamatkan kempen Malaysia dalam Sukan SEA 2019.

Seiring dengan peruntukan dalam Bajet 2020, yang menumpukan kepada pembangunan bola sepak negara, pencapaian daripada segenap sudut amat diperlukan.

Bagaimanapun, prestasi semasa skuad B-22 negara seolah-olah gagal menepati hasrat kerajaan itu.

Namun, Steven tetap berharap skuad negara akan melakukan keajaiban dalam edisi kali ini.

"Tuan rumah mungkin memiliki kelebihan tetapi saya yakin pasukan kita mampu untuk bangkit semula," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyuarakan keyakinan untuk melihat atlet luncur ais, Julian Yee, menyumbang pingat emas buat negara.

"Peluncur negara, Julian Yee, sedang mendahului dalam kategori lelaki.

"Saya percaya dia mempunyai peluang yang amat cerah dalam final," tambahnya.