Jurulatih skuad sofbol wanita negara, Ong Lian Bee, yakin anak buahnya akan menamatkan kemarau 40 tahun untuk meraih pingat dalam Sukan SEA Filipina selepas beraksi baik ketika tewas 1-8 kepada juara bertahan, Filipina, dalam aksi pembukaan semalam.

Dalam saingan di The Mansion, Clark itu, Malaysia turun selaku 'underdog' dalam kalangan lima pasukan wanita.

Namun, pemain negara memberikan tentangan sengit, terutama ketika mengikat tuan rumah 1-1 selepas inning kedua.

Pujian harus diberikan buat pembaling, Maisarah Ilham, yang kerap menggagalkan percubaan pemukul Filipina, yang majoritinya berpangkalan di Amerika Syarikat.

"Kalau berdasarkan semangat dan persembahan hari ini, saya yakin peluang kami untuk mendapatkan pingat cukup tinggi bagi melakar sejarah dalam sofbol Malaysia," katanya.

Pengalaman memberi kelebihan kepada pihak lawan apabila mula menjarakkan kedudukan selepas inning ketiga.

Juara bertahan itu mengesahkan kemenangan 8-1 dalam enam inning, namun prestasi itu meningkatkan semangat pemain negara.

"Dalam tempoh empat tahun ini, kami bekerja keras dan meningkatkan tahap persembahan.

"Kami juga meraih mata ke atas Filipina sebab jarang pasukan Asia Tenggara dapat berbuat demikian," kata kapten negara, Ngo Siew Ting.