Skuad wanita negara mencipta sejarah meraih pingat buat kali pertama dalam Sukan SEA selepas menewaskan Singapura 5 berbalas 4 larian dalam aksi terakhir peringkat liga sepusingan yang diheret hingga 8 inning hari ini.

Kemenangan yang diraih itu membenarkan Malaysia kini di tangga kedua saingan dengan tujuh mata, ketinggalan satu mata di belakang tuan rumah, Filipina (8 mata).

Bakal berdepan mereka dalam pusingan seterusnya (sistem page), pingat gangsa kini sudah dalam genggaman dan ia merupakan kali pertama dalam Sukan SEA.

"Kami telah berusaha untuk memberikan yang terbaik dan dapat meraih pingat buat kali pertama dalam Sukan SEA," kata kapten negara, Ngo Siew Ting.

"Kami dibarisi pemain-pemain yang berusaha dengan sebaik mungkin serta barisan kejurulatihan yang memastikan usaha kami dapat berjaya di Filipina kali ini.

Selepas gangsa sudah pasti menjadi milik Malaysia, skuad negara akan turun dalam pusingan seterusnya bagi menghidupkan peluang untuk melangkah ke final dan mengejar pingat emas dalam temasya dwitahunan itu.

"Pasukan ini memiliki semangat juang yang tinggi. Walaupun ketinggalan, mereka bangkit berusaha mendapatkan kemenangan. Peluang untuk ke final sentiasa ada dan saya berharap mereka mengulangi persembahan ini bagi melangkah ke final," kata jurulatih negara, Ong Siang Loon.