Sofbol: Dakwaan tidak berasas -- Megat Zulkarnain

Oleh Bernama 3 Disember 2019 296
Sofbol: Dakwaan tidak berasas -- Megat Zulkarnain
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, menolak dakwaan dua akhbar bahawa seorang atlet Malaysia positif ujian doping. 

Beliau menegaskan bahawa dua akhbar berbahasa Melayu itu membuat dakwaan yang tidak berasas sama sekali. 

"Apa yang berlaku ialah wartawan berkenaan mendengar perbualan  pegawai Anti Doping Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) yang berjumpa dengan pegawai pasukan Malaysia memaklumkan untuk mengambil sampel air kencing salah seorang pemain sofbol Malaysia bagi ujian doping.

"Tetapi ia telah disalah anggap oleh wartawan tersebut bahawa atlet negara telah dikesan positif doping," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Megat Zulkarnain menjelaskan bahawa ujian doping akan melalui proses yang teliti, yang mana semua sampel air kencing akan dihantar untuk diuji di makmal dari luar Filipina seperti di Jepun atau Australia.

Beliau berkata kebiasaannya penghantaran akan dilakukan secara berkumpulan dan agak mustahil keputusan ujian boleh diperoleh dengan begitu pantas. 

"Apatah lagi, sebarang keputusan akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Doping PHISGOC yang akan memulakan proses mengemukakan laporan kepada Jawatankuasa Pengelola sebelum dimaklumkan kepada majlis olimpik negara berkenaan. 

Proses berikutnya melibatkan pemakluman kepada atlet terlibat yang mungkin akan mencabar keputusan tersebut melalui sampel B terlebih dahulu. Proses ini akan mengambil masa dan tidak mungkin keputusan tersebut akan diketahui serta-merta,” katanya. 

 Beliau yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) berharap agar semua pihak mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum melaporkan perkara yang akan mencetuskan situasi yang tidak menyenangkan kepada sesiapa sahaja.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen