Jawatankuasa Teknikal Sofbol Sukan SEA Filipina, Datuk Low Beng Choo, menafikan atlet negara terbabit dengan isu doping, malah meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan yang dilaporkan oleh dua akhbar.

Barisan atlet sofbol negara dan pasukan tuan rumah, Filipina, menjalani ujian doping pada hari pertama Sukan SEA tetapi Beng Choo menjelaskan terdapat pihak tidak bertanggungjawab membuat laporan tidak berasas itu kerana ia memerlukan keputusan hasil daripada proses yang panjang.

Kesemua sampel air kencing akan dihantar untuk ujian di makmal luar Filipina sehingga mengambil masa lebih daripada dua bulan.

"Ini perkara biasa. Keputusan ujian ini tidak akan diketahui dalam tempoh terdekat, jadi untuk terus mengatakan ia positif merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

"Kemungkinan ia akan memerlukan seminggu atau dua minggu untuk diuji."

Beng Choo berharap masalah seperti itu tidak akan berulang agar tidak mengganggu fokus barisan atlet negara.