Snuker: Kesilapan paksa Keen Hoo putih mata

Oleh Staff Writer 11 Disember 2019 91
Snuker: Kesilapan paksa Keen Hoo putih mata
Atlet negara, Moh Keen Hoo, terkilan dengan kesilapan sendiri yang menggagalkan usahanya menyumbangkan pingat emas kedua dalam Sukan SEA Filipina apabila tersungkur dalam aksi final snuker perseorangan lelaki hari ini.

Dia ke final bersandarkan keyakinan selepas terdahulu memenangi acara berpasangan bersama Lee Kok Leong, namun aksi menentang wakil Thailand, Kritsanut Lertsattayathorn, tidak seperti dirancang atlet berusia 33 tahun itu.

Tewas frame pertama, Keen Hoo cuba menyamakan kedudukan dalam frame berikutnya, namun ketinggalan 2-0 selepas gagal memanfaatkan kelebihan pungutan mata.

Dia meredakan tekanan ke atas diri sendiri apabila mengungguli frame ketiga sebelum Kritsanut kembali di depan 3-1.

Dalam situasi itu, dia perlu memenangi tiga frame berikutnya untuk merangkul emas menerusi format tujuh frame terbaik tetapi kesilapan yang berulang membolehkan Kritsanut lebih unggul dengan 4-2 di penghujung aksi.

"(Prestasi saya) teruk. Saya ada harapan dalam setiap permainan tetapi banyak membuat kesilapan mudah. 

"Mungkin kerana terlalu inginkan emas ini, lalu ia memberikan tekanan tinggi kepada diri sendiri.

"Sepatutnya selepas memenangi emas (dalam acara berpasangan lelaki), saya bersikap tenang," katanya. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen