Gandingan Moh Keen Hoo dan Lim Kok Leong menjelmakan aksi konsisten untuk meraih pingat emas saingan snuker berpasangan lelaki Sukan SEA Filipina hari ini.

Keen Hoo dan Kok Leong turun menentang wakil Filipina, Alvin Barbero dan Jefry Roda, dalam aksi final.

Kilauan emas mula menyinar sebaik selesai dua frame pertama yang menyaksikan Malaysia mendahului 2-0 susulan kemenangan 97-12 dan 72-4.

Namun, momentum kedua-dua atlet kebangsaan itu terhenti seketika apabila wakil tuan rumah kembali merapatkan jurang susulan kemenangan 70-8 dalam frame ketiga.

Aksi lebih taktikal menyusul dalam frame keempat apabila Keen Hoo dan Kok Leong menyekat peluang lawan untuk merekodkan mata dan pertarungan hampir dua jam itu dimuktamadkan wakil Malaysia itu 71-16.

"Saya sangat gembira kerana sebelum tidak dapat meraih pingat emas. Kami telah mempamerkan corak permainan yang cemerlang dan gandingan saya berada di tahap terbaik," kata Keen Hoo.