Dendam kekalahan dalam final perseorangan wanita acara skuasy Sukan SEA 2017 menjadi bekalan buat Rachel Arnold untuk memimpin skuad negara ke Filipina dalam edisi ke-30.

Rachel memiliki kenangan manis dalam saingan Sukan SEA apabila muncul juara perseorangan wanita dalam penampilan sulung temasya itu di Singapura 2015.

Namun, impian untuk mengulangi pencapian sama di tanah air dalam saingan Kuala Lumpur 2017 berakhir dengan linangan air mata susulan tewas di tangan rakan sepasukan, S. Sivasangari, sekali gus membuatkan kegagalan itu lebih pahit berbanding tunduk di tangan seteru negara lain.

Justeru, ia menjadi pembakar semangat buat atlet berusia 23 tahun itu yang menjangkakan final perseorangan wanita dalam temasya di Filipina akan ditentukan di antara dua pemain Malaysia.

"Kemenangan dalam temasya Singapura 2015 sangat manis kerana ia dilakar di depan keluarga. Tewas di tangan Sivasangari dua tahun lalu membuatkan saya ingin merebut semula kejuaraan itu," katanya.

Bagaimanapun, Rachel memberi jaminan keinginan peribadi tidak akan sesekali mengatasi keperluan skuad mencapai sasaran buat kontinjen negara.

Kempen Kuala Lumpur 2017 juga menawarkan pengajaran berharga apabila skuad lelaki dikejutkan dalam pemburuan pingat emas berpasukan dan terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

Ia menjadi peringatan buat Rachel dan Malaysia yang turun sebagai pilihan untuk tidak sesekali memandang rendah keupayaan lawan.

"Saya fikir kami mempunyai skuad yang kuat jika semua bekerjasama dengan baik dan tampilkan aksi terbaik. Kami harus sentiasa mencuba dan tidak hilang fokus."