Malaysia mendominasi skuasy Sukan SEA Filipina apabila memastikan pingat emas perseorangan lelaki dan wanita selepas Addeen Idrakie menewaskan peserta tuan rumah, Robert Garcia, sementara Rachel Arnold mengecewakan rakan sepasukan, Chan Yiwen.

Kejayaan di Gelanggang Kelab Polo Manila itu merupakan gelaran pertama Addeen di peringkat individu

"Saya tidak boleh nak kata apa, saya cuma mahu berterima kasih kepada keluarga serta pasukan Malaysia yang selalu memberi sokongan dan dorongan kepada saya," katanya.

Selepas mengungguli set pertama 11-7, dia kehilangan rentak sehingga tewas 3-11 tetapi bangkit dalam dua set berikutnya 11-7, 11-5 untuk memuktamadkan emasnya.

"Bola tiba-tiba rosak dalam set kedua dan sejak ditukarkan kepada yang baru, rentak permainan saya agak lari.

"Dengan kehadiran penyokong yang ramai, mental saya terganggu sedikit dan apabila hilang fokus, saya tewas mudah.

"Jurulatih berpesan supaya abaikan penyokong (di luar), jadi saya cuba memanjangkan permainan kerana tahu pihak lawan tidak begitu memiliki kecergasan.

"Selepas itu, saya ambil kesempatan dengan menggunakan kelebihan fizikal.

"Walaupun set ketiga agak sengit, saya meneruskan apa yang diberitahu jurulatih untuk menang," tambahnya.

Sementara itu, Rachel kembali merampas emas yang dimenanginya empat tahun lalu apabila dengan mudah membenam pemain muda, Yiwen, 11-9, 11-7, 11-3.

"Saya berasa gembira dapat meraih emas kedua selepas dikecewakan di Kuala Lumpur.

"Saya gembira dapat memenanginya semula di Filipina.

"Ia satu pertarungan yang sengit. Saya mendahului selesa dalam dua set awal dan walaupun Yiwen cuba memberi tentangan, saya dapat meneruskan rentak," katanya.