Hasrat Malaysia untuk mendominasi final perseorangan skuasy Sukan SEA 2019 tidak kesampaian apabila wakil lelaki, Darren Rahul Pragasam, dikejutkan peserta tuan rumah dalam pertarungan separuh akhir hari ini.

Pemain di ranking ke-133 dunia itu menjadi wakil kedua negara yang turun beraksi di peringkat separuh akhir dan diramalkan akan ke final apabila menentang lawan bukan pilihan, Robert Garcia.

Tetapi, Garcia membuktikan statusnya sebagai taruhan terbaik Filipina apabila mengheret Darren beraksi dalam pertembungan lima set.

Kemenangan, bagaimanapun, menjadi milik Garcia menerusi keputusan 11-5, 8-11, 9-11, 11-3, 11-5.

"Garcia memperagakan aksi yang hebat.

"Dia beraksi di tempat sendiri, tahu lantunan bola dan mempunyai naluri.

"Dia mendapat sokongan padu daripada penyokong manakala tekanan lebih menjurus ke arah Darren.

"Kami terkilan kerana Darren tidak dapat mara ke final," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

Ini bermakna Addeen Idrakie perlu berada di kemuncak prestasi apabila menentang Garcia dalam final esok.

Pemain berumur 25 tahun dari Kuala Lumpur itu mara ke final selepas menumbangkan lawan dari Singapura, Chua Man Chin, menerusi kemenangan straight set.

"Tahap prestasi Addeen lebih baik daripada Garcia tetapi situasi final Sukan SEA, termasuk tekanan kepada diri sendiri, negara dan faktor penyokong, ia sesuatu yang perlu dikawalnya.

"Jadi, ia bukan mudah buatnya tetapi saya yakin dia mampu mengharunginya.

"Namun, ia bukan mudah," katanya lagi.