Pemain skuasy negara, Addeen Indrakie Bakhtiar, yakin pengalamannya dalam kejohanan antarabangsa akan membantunya selaku taruhan utama acara individu dalam Sukan SEA Filipina bermula Sabtu ini.

Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menyasarkan empat pingat emas dalam acara perseorangan lelaki, perseorangan wanita, berpasukan campuran dan beregu campuran.

Justeru, selaku taruhan utama acara perseorangan lelaki, dia yakin pengalamannya dalam kejohanan antarabangsa akan membantunya untuk meraih pingat emas di Filipina.

"Saya mempunyai pengalaman yang lebih luas dalam Jelajah Dunia berbanding pemain lain.

"Tetapi mereka masih pemain yang bagus dan saya tidak boleh memandang rendah (setiap lawan).

"Saya harap pengalaman akan membantu saya dalam Sukan SEA," katanya.

Dalam masa sama, dia tidak menafikan pemain utama tuan rumah mampu menghalangnya untuk mencapai sasaran itu.

"Sesiapa sahaja yang berdepan pemain nombor satu Filipina pasti akan berasa tertekan.

"Tetapi saya harap saya dan rakan sepasukan dapat mengekalkan prestasi yang baik untuk ke final," tambahnya.

Sebagai rekod, skuad skuasy negara meraih enam pingat emas, empat perak dan dua gangsa dalam edisi di Kuala Lumpur pada 2017.