Dua pemain ragbi 7's wanita negara, Rozliana Ridwan dan Nur Farahana Aziz, berasakan skuad negara yang akan bersaing dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini lebih kuat dan bersedia berbanding dua tahun lalu.

Skuad wanita negara meraih pingat gangsa dalam edisi Kuala Lumpur 2017, namun berdasarkan persediaan dan persiapan sepanjang tahun ini, Rozliana dan Nur Farahana yakin mereka sekurang-kurangnya mampu layak ke final.

"Selepas menyertai beberapa kejohanan sepanjang tahun ini, terdapat beberapa peningkatan yang ketara.

"Setiap individu dalam pasukan mempunyai kelebihan masing-masing.

"Apabila kami menggabungkan setiap kelebihan yang ada, ia memberikan perubahan yang besar," kata Rozliana dalam temu bual Nadi@1 hari ini.

"Komunikasi dan persefahaman hanya akan datang dalam perlawanan.

"Kami menyertai banyak kejohanan sepanjang tahun ini dan semakin mengenali sesama sendiri," tambah Nur Farahana.

Skuad wanita negara menyertai siri tiga Kejohanan Asia di venue berbeza sepanjang beberapa bulan lalu.

Mereka menamatkan saingan di Incheon, Korea Selatan di tangga ketujuh, Huizhou, China (keenam) dan Colombo, Sri Lanka (kelapan).

Bagi pemain negara, penyertaan dalam kejohanan itu banyak membantu mereka sebelum membuka kempen di Filipina nanti.

"Kejohanan Siri Asia itu sangat membantu kerana kami dapat membawa pulang pengalaman yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

"Kami dapat meningkatkan pengalaman dan prestasi sedia ada," tambah Rozliana.

"Pasukan Malaysia masih baru tetapi sepanjang tiga siri itu, kami dapat belajar dan melihat bagaimana pemain ragbi profesional beraksi.

"Daripada itu, kami dapat mengaplikasikan apa yang kami pelajari dalam setiap kejohanan.

"Ia membuka mata kami daripada aspek idea dan undang-undang kejohanan.

"Daripada perancangan permainan juga, ia banyak membantu," kata Nur Farahana.

Ditanya mengenai pencabar utama dalam Sukan SEA, Rozliana berkata: "Singapura merupakan pencabar utama dan kami meletakkan sasaran untuk ke final."

Nur Farahana menambah: "Daripada segi prestasi, kami dan Singapura setaraf tetapi kami tidak boleh berasa selesa kerana mereka mampu menyekat lauan kami ke final."