Kapten skuad polo negara, Shaik Reismann Ismail, sedia menebus maruah negara apabila akan bertemu Filipina sekali lagi dalam penentuan pingat emas Sukan SEA Filipina di Padang Polo Onigo Zobel, Ahad ini.

Skuad negara memberikan khabar gembira apabila mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan Brunei 8 berbalas 5.5 semalam.

Ia menempatkan Malaysia di tempat kedua pusingan kelayakan untuk ke final.

"Bertemu Filipina kembali dalam final akan menjadi amat-amat sukar.

"Kami pernah bertemu mereka sebelum ini dan ia perlawanan yang amat sukar.

"Saya menjangkakan satu lagi perlawanan yang sukar dalam final.

"Mereka pasukan yang baik dengan pemain dan kuda yang baik.

"Kami pula menggunakan kuda sewaan.

"Tetapi apa sahaja boleh berlaku dan saya yakin pemain kami akan memberikan yang terbaik," katanya.

Selaku juara bertahan, skuad negara berpeluang untuk menebus kekalahan kepada Filipina dalam pusingan kelayakan.

Secara tidak rasmi, pingat perak sudah pun berada di dalam genggaman susulan mara ke final dalam dua edisi berturut-turut

"Ia seperti mimpi jadi nyata buat pasukan polo Malaysia untuk mara ke final.

"Saya fikir kami layak untuk berada di sana dan saya amat berbangga dengan mereka (pemain)," tambahnya.