Skuad polo air akur gagal pertahan gangsa

Oleh Staff Writer 1 Disember 2019 134
Skuad polo air akur gagal pertahan gangsa
Ketua jurulatih skuad polo air negara, Voon Yong Hui, menganggap aksi terakhir berdepan tuan rumah, Filipina, tetap penting biarpun peluang untuk menepati sasaran meraih pingat gangsa dalam Sukan SEA Filipina sudah tertutup.

Kekalahan dalam tiga aksi berturut-turut meletakkan Malaysia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata, sekali gus meragut peluang skuad negara untuk mempertahankan pingat gangsa yang diraih dua tahun lalu.

Ini bermakna Malaysia juga kehilangan satu pingat gangsa daripada sasaran 105 yang ditetapkan. 

Yong Hui berharap temasya kali ini dapat membantu pemain baru meluaskan pengalaman, sekali gus menjadi platform persediaan awal untuk ke edisi seterusnya. 

"Kami sudah tiada peluang untuk meraih pingat gangsa kerana pasukan Filipina, Indonesia dan Singapura jauh lebih baik berbanding kami.

"Malaysia hanya menurunkan pasukan baru tetapi mereka memperoleh pengalaman yang berguna di sini.

"Harap-harap ia akan bermanfaat untuk edisi yang akan datang," katanya.

Sementara itu, penjaga gol, Huan Song Chee, mengakui kelemahan di bahagian pertahanan menjadi faktor prestasi hambar dalam tiga perlawanan itu. 

"Mereka sentiasa gagal berkomunikasi.

"Kerana apabila di dalam air, amat sukar untuk berkomunikasi.

"Jadi, ia merupakan satu masalah kepada kami," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen