Pengurus skuad pelayaran negara, Nik Ashraf Qaedi Nik Azizan, mahu atlet negara bersedia secara mental dan fizikal dengan sebarang kemungkinan penangguhan acara sukan itu dalam Sukan SEA Filipina bermula esok

Ia susulan amaran Taufan Kammuri yang dilaporkan akan membadai negara itu dalam masa terdekat.

Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizikal dan Astronomi Filipina (PAGASA) mengeluarkan amaran bahawa Taufan Kammuri dijangka melanda beberapa kawasan, terutama Pulau Luzon Selatan, yang merupakan antara venue temasya itu.

Menyedari perkara itu, skuad pelayaran negara bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya bencana itu turut melanda Teluk Subic dalam masa terdekat.

"Kalau taufan itu datang, memang pihak penganjur akan memaklumkan kepada peserta dan pegawai yang terlibat.

"Mungkin perlumbaan akan ditunda jika terdapat taufan.

"Apapun, kami sentiasa bersedia dan berhati-hati terhadap sebarang keadaan," katanya.

Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC), bagaimanapun, mempunyai perancangan kontigensi jika taufan itu melanda venue pertandingan dalam tempoh seminggu ini.

Antara pelan alternatif ialah memindahkan venue pertandingan ke kawasan yang lebih selamat.