Skuad memanah negara yang diketuai Khairul Anuar Mohamad masih belum panik untuk mencapai sasaran lima pingat emas dalam Sukan SEA Filipina biarpun kesemua pemanah negara kandas awal dalam acara recurve individu di Lapangan Memanah Clark hari ini.

Kekalahan mengejut Khairul Anuar dalam suku akhir acara recurve individu lelaki memberi tamparan hebat buat skuad negara.

Dia yang sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, tewas 4-6 kepada pemanah Myanmar, Oo Nay Lin, sekali gus memusnahkan peluang meraih pingat emas dalam acara itu.

Ia bermakna Malaysia akan beraksi dalam lapan lagi acara, termasuk compound, untuk memburu sasaran lima emas.

"Sasaran lima emas masih boleh dapat kerana kami masih ada beberapa acara.

"Apapun, kami memang sentiasa buat yang terbaik," katanya.

Seorang lagi wakil negara, Zarif Syahiir Zolkefli, juga terkandas dalam suku akhir.

Dalam acara wanita pula, Nur Aliya Abd Ghapar dan Nurul Afisa Abd Halil, tersingkir seawal pusingan pertama.

"Untuk acara berpasukan, kami akan berdepan Myanmar dalam pusingan pertama.

"Kami tidak mahu berfikir mengenai lawan atau kemenangan kerana hanya mahu menumpukan kepada panahan kami," kata Nurul Afisa.