Skuad gimnastik negara semakin yakin untuk menjadi lubuk pingat emas dalam Sukan SEA Filipina bermula esok selepas beberapa hari meneliti prestasi gimnas negara lain.

Biarpun dikategorikan sebagai sukan subjektif, gimnastik masih mendapat perhatian dan dilabel sebagai prospek pingat utama kontinjen negara.

Ketua jurulatih, Ng Shu Wai, yakin pasukannya dapat merangkul pingat emas sebanyak yang mungkin kerana berasakan prestasi gimnas negara lain kurang memuaskan

"Saya sudah melihat prestasi lawan dan dalam acara all-around, kami memang berkelebihan.

"Dalam saingan hari pertama, saya harap Farah (Ann Abdul Hadi) dan (Tan) Ing Yueh dapat melakukan yang terbaik untuk membutirkan emas pertama," katanya.

Seramai 18 gimnas akan membawa cabaran negara dalam 16 acara bermula Ahad ini.

Dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu, skuad negara membutirkan empat pingat emas dalam acara artistik dan lapan dalam acara gimrama.

"Pesaing utama dari Singapura tidak ikut serta kerana kecederaan, jadi kami berpeluang cerah untuk meraih emas acara all-around," tambahnya.