Skuad floorball wanita negara perlu mencari formula terbaik untuk bangkit menentang Singapura dalam perlawanan kedua Sukan SEA Filipina di Bandaraya Quezon petang esok.

Di atas kertas, Malaysia tampak sukar untuk menandingi Singapura memandangkan negara jiran itu pernah merangkul pingat emas ketika menjadi tuan rumah pada 2015.

Bagaimanapun, skuad kendalian Rizal Razman itu yakin jika mereka dapat mengurangkan kesilapan individu, mereka mampu melakukan kejutan untuk memperbaiki kedudukan dalam pusingan kelayakan.

Skuad negara dibelasah 2-8 oleh Thailand dalam aksi pembukaan hari ini.

Ia keputusan yang di luar jangkaan memandangkan Malaysia hanya tewas tipis 1-2 kepada lawan itu dalam pusingan kelayakan Piala Dunia di Bangkok, Januari lalu.

"Jika kami dapat beraksi seperti dalam suku kedua dan ketiga (perlawanan menentang Thailand), saya rasa kami mempunyai peluang yang cerah.

"Cuma, kami perlu melakukan perubahan, terutama dengan apa yang berlaku pada permulaan permainan," katanya.

"Saya fikir ia perlawanan yang menarik kerana Singapura merupakan pasukan pilihan kedua di belakang Thailand," tambah kapten skuad negara, Cheah Pui Yi.

"Seperti kami, mereka juga pasukan baru, jadi saya rasa kami setanding dengan mereka.

"Kedua-dua pasukan memiliki peluang sama rata," katanya.

Skuad floorball negara meletakkan sasaran realistik untuk meraih pingat gangsa dalam temasya kali ini.