Skuad floorball wanita negara menganggap insiden terkandas di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquinoy, Manila hari ini sebagai ujian kecil dalam misi meraih pingat Sukan SEA Filipina bermula minggu depan.

Mereka antara yang terawal tiba di Manila, namun 20 ahli pasukan itu terkandas selama dua jam di lapangan terbang kerana masalah kad akreditasi.

Selain itu, pesawat yang dinaiki skuad lelaki turut berdepan masalah kelewatan penerbangan.

Masalah yang sama juga terpaksa dilalui beberapa kontinjen lain, antaranya skuad bola sepak Thailand di bawah kendalian Akira Nishino.

"Pengurus beritahu bahawa pelekat di kad akreditasi masih belum sampai," kata kapten skuad negara, Cheah Pei Yi.

"Kad sudah sampai tetapi pelekat itu masih tiada.

"Jadi, ia tidak boleh disahkan," katanya.

Secara keseluruhan, seramai 93 atlet dan pegawai sukan negara daripada skuad floorball, bola sepak dan bola jaring tiba di Manila hari ini.

"Saya rasa ia baik-baik sahaja.

"Memang kami perlu menunggu dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

"Kami juga sedang menunggu skuad lelaki tiba, jadi ia tidaklah begitu buruk kerana terdapat makanan yang boleh dibeli di sini," tambahnya.