Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, menafikan skuad bola keranjang negara akan dibatalkan penyertaan dalam Sukan SEA Filipina bermula Sabtu ini, namun menyerahkan nasib Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) susulan isu Jalur Gemilang.

Skuad bola keranjang, termasuk acara 3x3, akan tetap meneruskan cabaran dalam Sukan SEA dan boleh beraksi menggunakan tiket MOM jika pendaftaran MABA digantung.

"Atlet memang tidak bersalah dalam kes ini.

"Ia memang kesalahan pihak penganjur.

"Siapa yang membuat kesalahan itu, kita akan melihat apa tindakan yang sepatutnya dibuat," katanya.

Malaysia akan beraksi dalam acara 5x5 lelaki dan wanita serta 3x3 lelaki dan wanita.

MABA dikritik hebat apabila menayangkan Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima ketika majlis perasmian Piala Lum Mun Chak semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, turut kecewa dengan isu itu dan mengarahkan PJS untuk mengambil tindakan.

"Memang terdapat kesalahan yang dilakukan pihak penganjur.

"Mereka (PJS) patut membuat siasatan terhadap siapa yang berlasah.

"Kami juga diberitahu bahawa pihak kementerian (belia dan sukan) akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah.

"Jadi, kami akan menunggu dan melihat laporan itu untuk menentukan tindakan selanjutnya yang kami patut buat," tambahnya.