Pesilat negara, Zulfazly Zulfakar, enggan dipengaruhi tekanan demi merealisasikan sasaran dua pingat emas skuad silat dalam Sukan SEA Filipina setelah mara ke final dalam acara tanding putra kelas D.

Zulfazly menjadi harapan akhir skuad silat negara untuk mencapai sasaran dua emas dalam temasya edisi ke-30 di Subic itu.

Ia susulan prospek utama yang juga kapten, Faizul Nasir, tumbang dalam acara tanding putra kelas B setelah kilauan emas pertama hadir dalam acara silat seni ganda.

Dalam aksi separuh akhir menentang pesilat Vietnam, hari ini, dia cemas sebelum meraih kemenangan 3-2 sambil mengalami sedikit kecederaan di bahagian mulut.

"Saya tidak mahu terlalu tertekan.

"Saya anggap baru sahaja mahu mula mengetengahkan rentak sebenar.

"Saya bukannya jenis pesilat yang terlalu fokus kerana saya lebih cenderung menikmati pertarungan," katanya.

Pesilat berusia 22 tahun berkenaan -- membuat kemunculan sulung temasya -- kini menghampiri jejak bapanya, Zulfakar Abdul Majid, yang memenangi pingat emas Sukan SEA Filipina 1991.

"Dia memang mahu saya menggantikannya.

"Itulah yang saya tunjukkan," katanya.