Silat: Wakil negara tetap berkobar 

Oleh Penulis Jemputan 1 Disember 2019 226
Silat: Wakil negara tetap berkobar 
"Skuad silat tetap ada aura."

Itu tegas jurulatih negara, Nasri Nasir, walaupun kehadiran mereka dalam Sukan SEA Filipina tanpa kelibat beberapa pesilat senior, terutama jaguh silat negara, Al-Jufferi Jamari.

Silat sinonim dengan kelibat bekas juara dunia itu apabila memenangi pingat dalam keempat-empat pembabitannya sejak edisi 2011 selain pesilat senior yang lain, Fauzi Khalid dan dan Siti Rahmah Nasir. 

Jaguh-jaguh negara tersebut tidak mengambil bahagian dalam temasya dwitahunan itu kali ini ekoran kategori yang terhad, namun aura mereka masih terasa dalam kontinjen silat negara. 

"Saya percaya atlet-atlet kali ini hadir membawa semangat-semangat pesilat seperti Fauzi dan Siti Rahmah memandangkan mereka sudah agak lama berada dalam pasukan ini," kata jurulatih itu. 

Silat akan membuka saingan esok membabitkan tiga acara, iaitu silat seni ganda, regu dan tunggal dengan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) meletakkan misi memburu dua pingat emas. 


 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen