Pesilat wanita negara, Shafiqah Hamzah, mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai pemilihan juara silat seni Sukan SEA Filipina setelah dia tampak dinafikan kilauan pingat hari ini.

Shafiqah memperagakan satu persembahan mantap menerusi beberapa teknik menarik dalam acara silat seni tunggal putri di Pusat Konvensyen dan Pameran Teluk Subic itu.

Begitupun, pemarkahan wasit terhadap pesilat berusia 25 tahun berkenaan tampak tidak seiring dengan aksinya apabila sekadar diberikan 441 mata.

Lebih menghairankan, Shafiqah, yang membuat penampilan sulung di pentas Sukan SEA, menduduki tempat keenam daripada lapan peserta yang bertanding.

"Alhamdulillah saya berpuas hati dengan persembahan sendiri, begitu juga dengan jurulatih.

"Itu saya tidak mampu nak ulas (kegagalan untuk meraih pingat) tetapi saya minta maaf tidak dapat menyumbang pingat.

"Ini penyertaan pertama saya dalam Sukan SEA dan saya sudah cuba sehabis baik," katanya.

Pencak silat yang menawarkan empat emas daripada silat seni dalam temasya dwitahunan itu menyaksikan hampir setiap negara diberi peluang sama rata untuk meraih pingat, termasuk Malaysia.