Misi penting buat pasukan silat seni regu putra negara ialah untuk sekurang-kurangnya mengekalkan pingat perak dalam Sukan SEA Filipina.

Malaysia dikecewakan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu apabila tewas kepada wakil Indonesia untuk meraih perak dengan pungutan 445 mata.

Muhammad Syafiq Ibrahim, yang menjadi wakil tunggal yang dikekalkan dalam pasukan trio itu apabila turut disertai dua pesilat, Nashrul Edzham Mohd Asri serta Mohd Juned Abdullah, enggan mengulangi kesilapan lalu.

Lebih meyakinkan buat pesilat berusia 23 tahun tersebut apabila rata-rata rakan sepasukannya turun dengan semangat tinggi bagi membentuk gandingan ampuh.

"Dalam tempoh setahun ini, tiada sebarang masalah dalam gandingan kami.

"Kami mengharapkan dapat memberikan persembahan untuk menaiki podium," kata Syafiq dalam sesi latihan hari ini.

Dalam pada itu, pasukan yang ditubuhkan dalam masa setahun itu sudah menunjukkan peningkatan prestasi apabila menduduki tempat keempat dalam Kejohanan Dunia, Disember tahun lalu, meraih perak dalam Terbuka Belgium (April lalu) serta emas dalam Terbuka Malaysia, September lalu.

"Kami berdepan cabaran untuk mengatasi pesilat senior dari negara lain tetapi berdasarkan persiapan di bawah tunjuk ajar jurulatih dan panduan pesilat senior yang berpengalaman di peringkat antarabangsa, saya yakin kami boleh berikan cabaran," kata Nashrul.

Acara silat akan bermula Ahad ini dengan sembilan emas yang ditawarkan.