Silat: Luqman tidak mahu jadi pelengkap jadual

Oleh Staff Writer 12 September 2019 78
Silat: Luqman tidak mahu jadi pelengkap jadual
Pesilat negara, Luqman Laji, tidak mahu penampilan pertamanya dalam Sukan SEA Filipina disifatkan sebagai sekadar melengkapkan jadual perlawanan, malah sedia membuktikan sebaliknya.

Atlet kelahiran Sabah itu meraih pingat gangsa dalam acara tunggal putera dalam Kejohanan Silat Terbuka Belgium selain mendapat ranking kelima daripada 11 atlet yang bertanding dalam Kejohanan Dunia di Singapura, Disember tahun lalu. 

Selepas 11 tahun berkecimpung dalam dunia silat, dia bakal melakukan penampilan sulung dalam Sukan SEA, sekali gus memaksa dia menangguhkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak bagi memberi fokus sepenuhnya kepada kejohanan itu.

Dia juga enggan menjadikan penampilan sulungnya sebagai alasan untuk tidak menghadiahkan sebarang pingat buat negara. 

"Penampilan pertama, saya harap dapat melakar kejutan kerana ia persembahan sulung. Diharapkan dapat memberi saingan kepada pesaing lain dan naik ke podium," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih silat seni negara, Nasri Nasir, optimis anak buahnya mampu memberikan saingan hebat meskipun rata-rata daripada mereka merupakan muka baru dalam skuad kebangsaan. 

"Saya lihat peningkatan yang jelas daripada saingan di Belgium sehingga kini. Saya yakin pesilat baru mampu memberi saingan sengit dalam Sukan SEA nanti," katanya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen