Silat: Keputusan berat sebelah ragut peluang Malaysia

Oleh Bernama 2 Disember 2019 384
Silat: Keputusan berat sebelah ragut peluang Malaysia
Aspek pemarkahan bagi sukan subjektif terus menjadi pertikaian dalam kalangan jurulatih setelah Malaysia sekadar meraih satu pingat emas dan satu gangsa pada hari pembukaan acara silat Sukan SEA Filipina di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic hari ini.

Perkara berkenaan diakui jurulatih negara, Nazri Nasir, yang terkejut dengan beberapa keputusan wasit setelah memberikan kemenangan kepada peserta tuan rumah, Edmar Tacuel, yang mencatatkan mata tertinggi dalam kategori tunggal putra, iaitu 470, diikuti dua pesilat lain,  Muhammad Iqbal Abdul Rahman dari Singapura (461 mata) dan wakil Indonesia, Dino Sulistianto (460 mata).

Pesilat negara, Luqman Laji, menduduki tempat keempat daripada lapan pesilat setelah mengumpulkan 456 mata.

Nazri, bagaimanapun, berpuas hati dengan pencapaian yang dilakar pesilat di bawah kendaliannya yang mempamerkan aksi cemerlang dalam empat acara hari ini, 

"Cuma tunggal putra itu kami sepatutnya dapat pingat tetapi gagal di situ. 

"Pada pendapat saya, regu putra kami sepatutnya dapat sekurang-kurangnya kedudukan kedua tetapi nasib tidak menyebelahi kami," katanya.

Gandingan Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga menyumbang emas tunggal untuk Malaysia setelah mengungguli acara ganda putra dengan kutipan 564 mata, manakala gangsa hadir menerusi  Muhammad Syafiq Ibrahim, Mohd Juned Abdullah dan Nashrul Edzam Mohd Asri dalam acara regu putra.

-- BERNAMA
  

Tentang Penulis

Bernama

Komen