"Saya mohon maaf."

Demikian tutur pesilat negara, Faizul Nasir, yang tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata apabila hajatnya untuk mengharumkan nama negara dengan pingat emas hatrik Sukan SEA tidak kesampaian.

Pesilat berusia 31 tahun itu tidak sedarkan diri ketika pertengahan aksi dengan peserta tuan rumah, Dines Dumaan, dalam kategori 55kg kelas Putera B, semalam.

"Saya minta maaf, Timbalan Chef-de-Mission, Nurul Huda Abdullah, ada bertanya mengenai sebarang hajat saya.

"Saya cuma jawab, 'tiada apa-apa yang saya mahukan. Saya cuma mahu meminta maaf kerana tidak dapat menyumbangkan hatrik emas'," katanya ketika ditempatkan di hospital ketiga di Manila itu.

Biarpun mengalami insiden yang boleh mengancam kesihatannya, Faizul tetap menanam tekad untuk kembali beraksi.

"Saya berasa sedih sebab dilantik sebagai ketua pasukan bagi skuad silat.

"Tetapi apabila berlawan dengan peserta tuan rumah, akan ada risikonya dan ketika sidang akhbar yang lalu, saya pernah mengatakan bahawa soal wasit bukan halangan kepada saya.

"Saya akan cuba untuk pulih dengan segera dan jika diberikan peluang lagi, saya mahu buktikan semula (kemampuan)," katanya.

Mengulas kejadian tersebut, Faizul mengulas lagi: "Saya cuba mengejar mata dan nampak peluang untuk menjatuhkan lawan.

"Ketika cuba membuat sapuan, saya kena tendang dan (pandangan) saya terus gelap.

"Saya tidak tahu apa yang telah terjadi, rupa-rupanya ini adalah hospital ketiga yang saya (ditempatkan).

"Saya berharap dapat pulih dengan segera untuk melihat rakan-rakan beraksi dalam final."