Pesilat negara, Sazzlan Yuga, percaya mampu mengekalkan kilauan pingat emas yang diraih Taqiyuddin Hamid dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu walaupun hanya menjalani latihan selama setahun dalam kategori berkenaan.

Sebelum ini, gandingan Taqiyuddin bersama Rosli Mohd Sharif yang sudah bersama sejak 2015, menceriakan kem Sukan SEA negara apabila meraih kemenangan ke atas wakil Indonesia, Hendy dan Yolla Primadona.

Bagaimanapun, sempena Sukan SEA Filipina hujung bulan ini, kehadiran Sazzlan nyata tidak mengecewakan apabila statistik kemenangan gandingan tersebut semakin meningkat sejak Kejohanan Dunia, diikuti kejohanan terbaru, Terbuka Antarabangsa Malaysia, September lalu.

Penampilan kedua-dua atlet kelahiran Sabah itu menyaksikan dia menghadapi cabaran dalam mengadaptasi teknik penukaran kategori regu putera kepada ganda putera.

"Sebelum ini daripada segi teknik, gerakan saya agak kaku dan statik.

"Kategori ganda putera ini sedikit berbeza berbanding daripada segi pergerakan tumbuk, tendang dan elak," katanya dalam sesi latihan semalam.

Meskipun lebih selesa digandingkan dengan Rosli, Taqiyuddin yakin rakan sepasukannya itu bakal melakar kejutan dalam temasya dwitahunan itu.

"Setakat ini, persiapan negara belum lagi sempurna memandangkan masih ada beberapa bahagian gerakan yang belum disiapkan lagi.

"Kami sedang bekerja keras dan Insya-Allah kami kami akan membawa balik pingat," kataTaqiyuddin.